Tuesday, October 2, 2007

Awas! Dendam Roma

Owen Hargreaves memberi amaran kepada Manchester United bahawa AS Roma pasti tidak sabar untuk membalas dendam atas kekalahan besar mereka musim lalu apabila kedua-dua pasukan bertemu lagi dalam saingan bola sepak Liga Juara-Juara, hari ini.

Anak-anak buah Sir Alex Ferguson membelasah kelab Itali itu 7-1 ketika mereka bertemu di suku akhir kejohanan Eropah tahun lalu.

Hanya sebulan selepas kekalahan yang memalukan itu, Roma berubah wajah menjadi pasukan lebih mantap dalam usaha memadam keaiban.

Hari ini, mereka berkunjung ke Old Trafford dengan misi memburu mata dalam perlawanan Kumpulan F sekaligus menebus apa yang telah dilakukan oleh United.

Musim lalu, Hargreaves menonton perlawanan United-Roma itu bersama rakan-rakan di Bayern Munich, namun kali ini dia akan menjadi antara tonggak utama yang bakal menyambut kehadiran Roma di Manchester.

Pemain antarabangsa England itu akan membuat penampilan sulung di Eropah bersama juara Liga Perdana selepas pulih daripada kekejangan paha, dan berikrar membantu pasukan untuk mengutip mata.

‘‘Kemenangan besar 7-1 tidak mungkin akan diulangi. Keputusan seperti itu amat mustahil untuk dilakukan dan hanya boleh berlaku sekali dalam setiap tiga atau empat tahun pada kejohanan seperti ini.

‘‘Kami harus meletakkan diri dalam posisi terbaik jika mahu menang kali ini, seperti yang dilakukan di Lisbon. Sekarang, kami ada tiga perlawanan di tempat sendiri, kalau kami boleh menang semua perlawanan itu, ia akan mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

‘‘Saya pasti Roma akan datang dengan misi menebus apa yang berlaku musim lalu tetapi saya menjangkakan kami akan memenangi perlawanan ini,’’ kata Hargreaves.

Perlawanan-perlawanan besar di Old Trafford sering menghadirkan suasana istimewa, namun keadaan menjadi panas pada musim lalu apabila penyokong United dan Roma bertempur.

Penyokong United diserang oleh samseng bola sepak Roma ketika perlawanan peringkat pertama di Itali dan peminat United yang berang menanti peminat Roma di luar Old Trafford pada peringkat kedua.

Pihak keselamatan terpaksa menggandakan kawalan dan pemain kedua-dua pasukan terpaksa mengawal diri sepanjang perlawanan untuk tidak menyemarakkan kemarahan penyokong.

Hargreaves mempunyai keupayaan untuk menghadapi situasi perlawanan besar, sebab utama Ferguson begitu berminat untuk membawa pemain kelahiran Kanada itu beraksi buat United musim ini.

‘‘Saya memiliki banyak pengalaman bersama Bayern Munich dan telah mengharungi banyak perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, jadi saya amat teruja apabila beraksi dalam pertandingan bersama Manchester United.

‘‘Saya dengar malam perlawanan Eropah di Old Trafford amat istimewa, jadi saya mahu melihat sendiri suasana sebenar.

‘‘Suasana ketika menentang Chelsea minggu lalu juga sungguh hebat dan saya menjangkakan suasana yang sama apabila kami menerima kunjungan Roma,’’ katanya.

sumber: www.utusan.com.my