Sunday, September 23, 2007

Man Utd vs Avram Grant

Avram Grant dikatakan tidak mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk menjadi pengurus di Chelsea atau mana-mana kelab Liga Perdana England.Namun, lebih penting daripada itu, kredibiliti Grant sebagai pengurus bakal diuji hari ini sama ada dia benar-benar layak memegang jawatan itu atau pun tidak.

Semua ini akan terjawab apabila Chelsea yang datang tanpa Jose Mourinho bertandang ke Old Trafford untuk menentang Manchester United.

Grant yang menggantikan Mourinho ternyata berdepan tugas berat untuk membuktikan kemampuannya pada perlawanan itu.

Semalam, Chelsea mengesahkan Grant tidak mempunyai lesen sebagai jurulatih bertauliah untuk Liga Perdana England.

Sekiranya Grant berjaya membuatkan Chelsea menang ke atas United, jodohnya dengan kelab milik Roman Abramovich itu mungkin lebih lama.

Namun, jika sebaliknya, Grant yang terkenal dengan amalan corak menyerang mungkin akan segera digantikan dengan orang lain.

Begitu pun, sewaktu diperkenalkan kepada media, kelmarin, Grant menyatakan dia layak memegang jawatan itu.

Dari segi rekod pertemuan, Chelsea memiliki sedikit kelebihan yang melegakan penyokong- penyokongnya.

Pengurus United, Alex Ferguson sendiri mengakui hakikat itu apabila pasukannya hanya pernah menang sekali dalam tempoh tiga tahun dalam era Mourinho.

‘‘Kami akan fokus dengan permainan sendiri. Chelsea tetap seperti dulu memiliki pemain yang sama (biar pun tanpa Mourinho).

‘‘Jika tengok pada rekod sepanjang tiga tahun lalu, tidak banyak yang boleh kami banggakan, jaringan juga kurang dihasilkan. Permainan biasanya agak sengit,” kata Ferguson.

United bagaimanapun memiliki prestasi semasa yang lebih baik berbanding Chelsea termasuk pada saingan Liga Juara-Juara Eropah baru-baru ini.

Cuma kemenangan yang dicipta agak tipis iaitu 1-0 sahaja terutama dalam empat perlawanan terbaru mereka.

Chelsea dijangka beraksi tanpa Frank Lampard dan Didier Drogba yang masih cedera.

Ini menyaksikan jentera serangan mereka bakal digerakkan Andriy Shevchenko dan Salomon Kalou.

Di pihak United pula, pasukan itu kehilangan khidmat Gary Neville dan Owen Hargreaves tetapi mendapat semula sentuhan Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney.

Kehadiran dua penyerang itu dijangka memperkuatkan barisan yang sama diturunkan ketika menewaskan Sporting Lisbon, Khamis lalu.

No comments: